Sunday, April 8, 2018

(10) arnab membawa diri


...baca dari awal

Akhirnya arnab tiba di garisan penamat dengan kelelahan. Didapatinya kancil telah menobatkan siput sebagai pemenang.

Arnab tua mengeluh lagi. Kali ini lebih berat. Mujur hanya dia yang tahu peristiwa tersebut. Arnab lain tidak tahu pengalaman peribadinya itu.

Arnab sedar dia ditipu. Siput² telah berpakat untuk mempermainkannya. Namun untuk mengungkit perkara itu akan membuka kelemahan sendiri. Hanya orang bodoh yang boleh ditipu.

Lebih bodoh lagi jika sengaja menghebahkan pada orang lain kebodohan tersebut.

Kekalahan dengan siput menjadikan arnab banyak berubah. Dia banyak menyendiri.

Tiba² arnab tua terfikir untuk keluar dari daerah itu. Berkelana. Bermusafir.

Satu perkara yang ia belajar dari kekalahan tersebut ialah kaki yang dikurniakan padanya bukan untuk bermegah tetapi digunakan sepenuhnya untuk kebaikan. Bukan juga sekadar untuk melarikan diri dari pemangsa.

Ia ingin berjalan sejauh yang ia mampu. Ia ingin melihat dunia yamg luas ini semahunya. Sementelahan tika itu ia belum punya sebarang tanggung jawab. Ibu bapanya pun telah tiada dan adik beradiknya entah di mana.

Dengan tekad untuk yang satu, arnab memulakan perjalanannya pada suatu pagi yang cerah.

Maka bermulalah pengembaraan sang arnab tanpa sebarang bekal kerana ia percaya di mana ia sampai di situ rezekinya menunggu.

Bersambung...
...baca dari awal

Friday, April 6, 2018

(9) Siput pula kalahkan arnab


...baca dari awal
Jarak yang ditentukan agak jauh namun tidak keluar dari tebing sungai. Alasan siput ialah dia mesti mengekalkan kelembapan.

Sepanjang perlumbaan arnab akan berlari di tebing manakala laluan siput di bawah, dekat gigi air.

Arnab tua yang tahu bahawa bangsa arnab pernah kalah pada kura² bertekad menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran penting. Malam itu dia tidur awal bagi memastikan tidak mengantuk semasa pertandingan.

Arnab tua tersenyum sinis. Alangkah naifnya dia waktu itu. Kesombongan menyebabkan dia gagal melihat hakikat. Dia buta pada kebenaran.

Apabila pelepas memberikan isyarat maka arnab tua yang ketika itu masih muda belia berlari sepantas yang boleh.

"Siput, engkau di mana?" dia berteriak. Itu adalah salah satu syarat yang siput kenakan konon supaya mereka masih dalam trek yang sama.

"Aku di sini." sahut siput kira² 5 depa di hadapan.

Jawapan tersebut mengejutkannya. Apa boleh buat, dia terpaksa berlari lagi mengejar siput yang berada di depan.

Seketika kemudian arnab berhenti lagi bagi mengambil nafas dan menentukan kedudukan.

"Siput, kau di mana?"

"Aku di sini." sahut siput tidak jauh di depannya.

Arnab mula panik. Dia tak ssmpat berfikir bagaimana siput boleh sentiasa berada di hadapan.

Beberapa kali perkara tersebut berulang. Setiap kali dia berteriak maka di dengarnya suara siput berada di hadapan.

Bersambung...
...baca dari awal

Minyak Morha

(8) belum serik rupanya


...baca dari awal
Keluhan kecil ketika suasana sedang hening sempat menarik perhatian arnab muda.

"Atuk mengeluh? Kenapa?" arnab muda terus menegur. "Atuk gusar dengan perlumbaan nanti? Atau, atuk masih sesalkan yang lepas?" arnab muda menghujani dengan soalan².

"Kau belum tahu sepenuhnya." arnab tua merengus. Namun sekali lagi kata² itu dibiarkan berdengung dalam kepalanya.

Sang arnab tidak puas hati mellhat siput yang tidak mengendahkan sindirannya.

"Kita berlumba nak?" usik arnab sambil ketawa terkekeh². "Kau tentukan masa dan tempat." ujarnya lagi.

Petang itu siput bermesyuarat sesama mereka. Hasil perbincangan, keputusan diambil bahawa cabaran arnab perlu disambut. Bukan kerana mahu menang tapi untuk menyedarkan arnab bahawa ada kuasa lain yang mampu menentukan apa sahaja.

Cuma strategi untuk menang perlu dicari. Ilham perlu dipohon pada yang maha kuasa. Malam itu masing² bermunajat bagi mendapat cara terbaik mengalahkan arnab.

Arnab muda melompat ke depan. Sebentar kemudian ia telah hilang dari pandangan. Entah ke mana.

Arnab tua masih ingat pada hari yang ditetapkan itu. Tiada haiwan lain yang hadir. Seekor kancil diminta menjadi pelepas dan seekor lagi menunggu di garisan penamat.

Bersambung...
...baca dari awal
Minyak Morha

Tuesday, April 3, 2018

(7) berlumba dengan siput


...baca dari awal
Arnab ketawa terkekeh² mengadap siput. Pergerakan makluk bercengkerang itu amat menggelikan hatinya.

"Bila nak sampai kalau macam ni?" tanya arnab dalam sisa² tawa.

Sang siput cuba untuk tidak memperdulikan arnab. Ia mengensot perlahan² namun tetap. Harapannya sebentar lagi ia akan tiba pada tebing sungai. Di situ banyak daun enak yang menunggu.

Arnab tua terus melamun. Terbayang di matanya seekor siput yang sedang enak memamah daun muda tanpa perlu risaukan helang yang boleh muncul tiba² menyambar.

Siput juga tidak perlu bimbangkan buaya yang tiba² membedal mangsa dari paya yang cetek.

Di hutan belantara ini tiada manusia yang mahu meredah hanya untuk mencari siput. Malah siput bersyukur kerana kaumnya bukanlah sejenis makanan yang digemari.

Arnab tua mengerling cucunya yang turut termenung. Barangkali dia sedang berfikir bagi merancang strategi untuk perlumbaan nanti.

Arnab tua mempelajari tubuh cucu yang berteleku tidak jauh darinya.

Mereka dibekalkan dua cuping telinga panjang guna mengesan sebarang bunyi yang mencurigakan. Mereka juga dipersediakan dua pasang kaki yang tangkas berlari. Dua kaki di belakang diperpanjang untuk mudah mereka melonjak ke depan bagi melarikan diri secara tiba².

Ya. Bangsa mereka hidup dalam ketakutan. Sentiasa bersiaga dari pelbagai ancaman.

Padahal mereka tidak mencari musuh. Mereka juga seperti siput yang makan daunan.

Tanpa sedar arnab tua mengeluh perlahan.

Bersambung...
...baca dari awal
Minyak Morha

(6) tiga kali kalah


...baca dari awal
"Perkara pertama yang perlu dikalahkan ialah diri sendiri." kura² mengulangi kata²nya.

Arnab menyediakan telinga panjangnya supaya lebih jelas.

"Enggan menerima keputusan adalah tanda kekalahan. Yakni kalah melawan nafsu sendiri. Boleh kau terima kata² ini?" kura² berusia lebih satu setengah abad itu berkata lembut.

Lembut namun kata² itu menghunjam terus ke hati arnab. Sangat bisa dan sukar diterima. Dia tahu kata² itu benar tetapi banyak alasan perlu dicari sebelum diakui.

"Ini soal maruah. Perkara maruah tidak boleh ditolak ansur. Seluruh alam menyaksikan betapa bangsa arnab diaibkan melalui dua kekalahan." arnab muda memecah kesunyian tiba².

Namun arnab tua terus diam tidak menyampuk.

"Dua kekalahan? Atau tiga?" suara arnab tua sekadar bergema dalam batinnya. Arnab muda tidak tahu.

Sebenarnya keturunan arnab telah mengalami tiga kali kekalahan. Tak ramai yang tahu bahawa seekor arnab pernah kalah berlumba dengan siput!

Sungguh memalukan jika perkara ini tersebar. Siput yang mengengsut seolah tak bergerak itu pernah mengalahkan arnab dalam satu perlumbaan tertutup.

Mujur tertutup. Malah di pihak arnab sendiri pun tidak ada yang tahu. Semasa perlumbaan itu dilangsungkan, hanya arnab sombong itu seekor sahaja yang terlibat.

Arnab tua mengimbau episod luka tersebut.

Bersambung
...baca dari awal
Minyak Morha
10 herba terbaik dunia di dalamnya 



Monday, April 2, 2018

(5) menebus maruah keturunan


...baca dari awal
"Perlumbaan ini sangat perlu diadakan." arnab muda berkata penuh semangat. "Biar saya jadi wakil bangsa arnab." ujarnya nekad.

Misai arnab tua bergerak². Ada yang dikenangnya. Pertemuan secara tidak sengaja dengan seekor kura² tua banyak menginsafkan diri.

Arnab tua masih ingat peristiwa di tebing sebatang sungai. Lamunan panjangnya disalut kekecewaan rupanya diperhati seekor kura².

"Sejahtera atas kamu saudara." kura² menyapa. Suara yang begitu lembut rupanya masih sempat mengejutkan arnab.

Sang arnab terpisat². Dia tidak tahu samada mahu membalas salam atau lari dari situ. Namun melihat pada roman wajah kura² yang redup penuh kasih, dia menjadi tenang untuk menunggu.

"Kau masih memikirkan perlumbaan itu?" kura² menebak namun tepat.

Arnab tunduk. Apa yang perlu dijawab lagi?

"Kalau kalian mahu menang pada perlumbaan ke-3 nanti, saya boleh bocorkan kelemahan kami." kura² seperti menguji.

Sepatutnya arnab bersorak mendengar tawaran itu. Setidak²nya bergembira dalam hati. Namun tidak. Peluang itu dirasakan bagai sembilu menusuk kalbu.

Suasana sepi. Barangkali masing² melayan fikiran sendiri. Hanya sesekali kedengaran suara penghuni rimba di sana sini mencarik hening belantara.

"Perkara pertama yang perlu dikalahkan ialah diri sendiri." tiba² kura² memecah kesunyian.

Arnab sedikit tertarik dengan kata² itu. Ia memandang kura² tua mengharap penjelasan lanjut.

Bersambung
...baca dari awal
Minyak Morha


(4) Arnab kalah lagi


...baca dari awal
Trek laluan perlumbaan bermula dari puncak sebuah bukit dan tamat di kakinya.

"Dalam perlumbaan kedua kita kalah kerana muslihat kura². Kita kalah strategi. Kita kena ambik pengajaran dari situ." getus arnab muda lagi.

Memang benar kata² arnab muda itu. Apabila pelepas memberi isyarat bermula maka kura² menggolekkan dirinya ke tebing dan berguling² jatuh ke bawah. Dalam masa yang singkat kura² tiba di garisan penamat.

Sang arnab cuba menyaingi namun tidak dapat berlari lebih pantas dari itu meski menuruni bukit. Hendak terjun, sang arnab tahu tubuh lembutnya pasti akan berkecai apabila terhempas ke bawah.

Ketika arnab tiba di garisan penamat dengan termengah², pengadil sudahpun menobatkan kura² sebagai pemenang.

Untuk kali kedua, bangsa arnab tewas lagi. Si KALAH.

Arnab tua menyeka air jernih yang merembas dari matanya. Alangkah malunya ditewaskan sekali lagi dengan pihak yang dianggap lemah.

Kali ini cucunya mengajak untuk berlumba sekali lagi. Perlumbaan ke-3. Perlukah?

"Perlumbaan ini sangat perlu diadakan. Demi maruah bangsa."


Bersambung
...baca dari awal
Minyak Morha



(3) Menentukan gelanggang pertandingan


...baca dari awal
Arnab tua menggeleng² kepala. Itu jugalah yang diyakini oleh beberapa generasi sebelum mereka apabila nekad berlumba semula.

Setelah bermesyuarah akhirnya bangsa kura² bersetuju menerima cabaran dengan syarat pihak kura² akan menentukan gelanggang pertandingan.

Maka bermulalah persediaan.

Sebenarnya hanya di pihak kura² yang sibuk merancang dan berlatih sedangkan di pihak arnab terlalu yakin bahawa mereka akan mengalahkan kura².

"Pertama, kita mesti belajar dari kesilapan lalu. Ingat, kekalahan pertama kita dulu ialah kerana kealpaan sendiri. Tidak pernah dibuat dalam mana² pertandingan peserta tidur sebelum sampai ke garisan penamat." arnab muda berkata kesal bercampur geram.

Arnab tua mengerling arnab muda sedikit namun masih enggan bersuara.

"Nampaknya kau masih belum belajar dari kekalahan itu." bisik kura² tua dalam hati.

Arnab tua masih ingat cerita yang didengarnya bahawa lokasi perlumbaan ke-2 adalah di kawasan perbukitan.

Bersambung
...baca dari awal
Minyak Morha

(2) kura-kura menyahut cabaran


...baca dari awal
Perlumbaan ke-3 (2)

Arnab tua mengangkat kepalanya sedikit ke arah cucunya itu kemudian kembali menunduk. Kaki depannya dilunjurkan dan mata dirapatkan.

Arnab tua ingat lagi, perlumbaan kedua diatur bagi menebus kekalahan pertama. Sebenarnya pertandingan tersebut telah melanggar perjanjian awal. Sepatutnya tiada lagi perlumbaan ulangan. Mana² pihak mesti berlapang dada walau apapun keputusan.

Bangsa arnab yang terdesak, kononnya menjaga maruah bangsa bertemu dengan sang kancil. Mereka menawarkan kesediaan untuk menerima apa sahaja syarat baru dari pihak kura² asalkan bersetuju.

Akhirnya puak kura² menyahut cabaran. Persetujuan mengadakan perlumbaan ke-2 disambut meriah oleh kaum arnab. Mereka amat yakin dapat menebus kekalahan lalu.

"Saya yakin kali ini kita mesti menang." ujar arnab muda bersemangat.

Seterusnya
...baca dari awal

Minyak Morha

(1) Dua kali kalah


...baca dari awal
"Malu. Sungguh memalukan." arnab muda mendengus. Tak habis fikir dia bagaimana nenek moyangnya dua kali kalah berlumba dengan kura².

Arnab tua menekur bumi. Entah berfikir entah melamun.

"Kali pertama kita kalah kerana tertidur dan kali kedua tiada strategi." gumam arnab muda lagi.

Arnab tua masih menunduk seolah tanah tempat perutnya berlabuh itu lebih menarik dari kata² cucunya.

Arnab tua memang tahu apa yang berlaku dalam kedua² perlumbaan tersebut. Malah dia sangat sedar betapa seluruh makhluk mengetahui kesah kekalahan bangsanya pada bangsa kura².

Selama beratus tahun bangsa arnab menangung aib. Semuanya gara² sombong dan bongkak seekor arnab.

"Kita kena tebus maruah. Kita kena hentikan ejekan haiwan lain pada kita." arnab muda bertekad.

Arnab tua terus diam. Dia masih ingat cerita datuknya pasal perlumbaan itu. Segalanya bermula apabila seekor arnab yang ternampak seekor kura² bergerak perlahan.

Arnab mempersenda kura² berkenaan dengan mengajak berlumba. Kura² yang tersinggung itu terus bersetuju tanpa berfikir panjang.

"Kita kena adakan satu lagi perlumbaan." tiba² arnab muda bersuara tegas mengganggu lamunan arnab tua.

Seterusnya
...baca dari awal
Minyak Morha



Mukaddimah Perlumbaan ke 3 arnab dengan kura-kura



Kesah perlumbaan antara arnab dengan kura-kura telah terkenal di seluruh dunia.

Malah ada pihak yang telah melakukan satu perlumbaan sebenar antara arnab dengan kura-kura yang berkesudahan kura-kura mengalahkan arnab!

Lihat videonya.

Sebagaimana yang diketahui, arnab kalah dalam perlumbaan tersebut kerana kelalaian sendiri. 

Mesej lain yang dikepilkan dalam cerita itu ialah balasan dari sifat ujub arnab.

Perlumbaan kedua adalah bagi melihat kemungkinan jika berlaku pertandingan ulangan. Ternyata arnab sekali lagi dikalahkan kerana terburu-buru menilai pihak lawan.

Bagaimana dengan perlumbaan ke-3? 

Cheguman membawa sudut pandangan baru yang lebih terbuka.

Perlumbaan ke-3 adalah satu perjalanan sufi bagi mencari kebenaran dan hakikat kehidupan.

Seperti yang pernah ditulis dalam fb beliau, watak haiwan dalam mana² cerita adalah manusia.

Selamat membaca


Minyak Morha