Sunday, June 10, 2018

(12) Nasib si anak dagang


...baca dari awal
Sinar matahari pagi memanah tepat ke muka arnab yang masih muda itu. Ia menenyeh² mata dengan lengan untuk membiasakan diri akibat silau.

Walia menyedarkan diri bahawa dia sekarang di tempat baru dengan suasana yang agak asing. Di daerahnya cahaya matahari tidak begitu tembus ke bumi. Pokok² besar menjadi bumbung dan haiwan² berkelubungkan tumbuhan kecil bagi mengelak diri di temui pemangsa yang boleh muncul tiba².

Walia sedar bahawa di tempat baru cabarannya juga baru. Ia perlu cepat menempatkan diri dengan keadaan di situ atau mati kerana gagal menyesuaikan diri.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengisi perutnya yang kosong sejak tiba malam tadi.

Walia meninjau sekeliling jika ada yang boleh dimamah. Beberapa tumbuhan kecil di samping tidak begitu menarik minatnya. Ia mahukan yang lebih enak dari itu.

Walia memandang ke kejauhan. Kebetulan tempatnya berlabuh itu agak tinggi. Sengaja dipilihnya kawasan itu malam tadi supaya mudah ia mengawasi sekitar.

Di lembah yang tidak begitu jauh dari situ dilihatnya ada tanah lapang dan bertompokan tumbuh²an. Nalurinya membisikkan bahawa ada sesuatu yang enak di situ.

Walia melompat dengan tangkas dan girang menuruni cerun. Denai kecil dilalui dengan pantas dan dalam masa yang tidak begitu lama dia tiba di kawasan yang menjadi perhatiannya tadi.

Baru sahaja dia hendak melahap serumbun sayur yang tumbuh di situ, satu suara menyergah. Tidak cukup dengan itu sesuatu yang keras hinggap di pelipisnya.

Walia terkejut. Amat terkejut. Pedih dan ngilu terasa di kepala. Namun dia tidak mati akal. Tanpa menanti bahana selanjutnya yang bakal menyusul dia segera melompat dan menghindar.

Susup sasap Walia berlari meninggalkan tempat itu. Terasa ada cecair mengalir menuruni mukanya. Perit tak terkira. P

Pedulikan. Yang penting menyelamatkan nyawa.

Walia hanya berhenti setelah dirasa musuh tersebut tidak lagi memburunya. Dia telah menyusup semak samun dan celahan batu bagi menyelamatkan diri.

Jika tadi hanya kepalanya yang berdarah tapi kini seluruh tubuh lembutnya calar balar digores ranting dan duri. Telapak kaki usah dicakap lagi. Duri dan batu tajam mencucuk di sana sini.

Bersambung
...baca dari awal

No comments:

Post a Comment