Saturday, June 9, 2018

(11) Perjalanan bermula


...baca dari awal
Walia tiba di pinggir sebuah kampung ketika bumi sedang melabuhkan tirainya. Sebentar lagi malam 'kan menjelma.

Dia teringatkan tempat kelahiran yang jauh ditinggalkan. Tiba² dia rasa sebak.

Sebelum ini dia tidak pernah pergi jauh.

Walaupun punya kaki yang pantas namun ia sekadar merayau dalam lingkungan tempat tinggalnya. Di situ ia dilahirkan dan dibesarkan. Di situ dia bermain dan mencari makanan.

Di situ juga dia telah dikalahkan seekor siput yang diejeknya sebagai lembab.

Alangkah bodohnya dia waktu itu.

Tidak, dia tidak bodoh. Arnab adalah haiwan yang cerdik. Itu yang diberitahu oleh paman²nya sejak kecil.

Akibatnya dia menjadi ujub dengan diri sendiri.

Arnab bukanlah bangsa bermasyarakat. Mereka tidak macam gajah yang hidup sekawan. Tidak juga seperti anai² yang berkoloni dan berpermaisuri.

Arnab hidup sendiri².

Walia memandang semula ke arah dia datang. Agak jauh perjalanannya. Hampir sepanjang perjalanan dia berlari. Seolah ada yang memanggilnya untuk segera tiba. Padahal dia sendiri tidak tahu ke mana nak dituju. Hanya mengikut arah kaki melompat.

Sesekali Walia berhenti rehat. Makanan ada di mana². Malah dia tidak perlu mengambil masa yang lama untuk makan. Sambil bergerak pun dia boleh makan.

Minuman juga tidak sukar di cari. Dia tahu tumbuhan yang menampung air. Lopak kecil dan anak sungai juga menjadi sumber bagi menghilangkan dahaga.

Beberapa buah bukit di daki dan dituruni. Ia cuba melalui denai sebelum tersedar bahawa tindakannya itu bakal membahayakan diri. Mana tahu akan terserempak dengan pemburu atau sesiapa sahaja yang melalui lorong itu.

Cerita tentang manusia dan tabiat berburu mereka sudah acap didengar.

Kemudian ia menyusuri tebing sungai yang panjang. Sesekali dia berpapasan dengan haiwan lain yang tidak mengenalinya dan tidak pula dia kenal.

Pernah sekali dia terserempak dengan babi hutan sedang menyondol perdu ubi. Habis digeledah rumpun itu mencari makanan. Walia ingin mengejek tetapi tiba² ia teringat kesilapan yang membuatnya sesal tak sudah.

"Ah. Itu cara kehidupan mereka. Masing² ada keunikan tersendiri. Baik difikirkan arah tuju sendiri. Baik disemak kelemahan sendiri. Kalau baik, diri sendiri yang Ijuntung. Kalau buruk, diri sendiri juga yang rugi.

Malam itu Walia tidur di tempat baru.

Bersambung
...baca dari awal

No comments:

Post a Comment